10Maka setelah sudah kembali Yusak, pada masa itu juga dialahkannya Hazor dan dibunuhnya akan rajanya dengan pedang. Adapun dahulukala Hazor itu ibu negeri segala kerajaan itu.
11Maka dibunuhnya akan segala orang isinya dengan mata pedang dan ditumpasnya akan mereka itu, dari pada segala yang bernafas satupun tiada tinggal, dan Hazorpun dibakarnya habis dengan api.
12Maka segala negeri raja-raja itupun dialahkan Yusak dan segala rajanyapun ditawaninyalah dan diparangnya akan dia dengan mata pedang dan ditumpasnya akan dia, setuju dengan pesan Musa, hamba Tuhan itu.
13Tetapi bukannya segala negeri yang di atas bukit itu dibakar habis oleh orang Israel, melainkan Hazor sahaja yang dibakar habis oleh Yusak.
14Maka segala jarahan negeri-negeri itu dan segala binatangnya dirampas orang Israel akan dirinya, melainkan segala orangnya itu dibunuhnya dengan mata pedang, sehingga dihabiskannya mereka itu, satupun tiada ditinggalkannya dari pada segala yang bernafas.